Bomoh PJJ belit pelanggan

Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Bomoh Perubatan Jarak Jauh (PJJ) bukan saja menawarkan batu kelikir, batu sungai, batu gunung serta pelbagai jenis batu mudah jumpa kepada pembeli kononnya ia sakti, malah turut ‘membelit’ mangsa dengan mendakwa penyakit dapat diubati dari jauh jika memakai batu berkenaan.

Dengan hanya bermodalkan batu ditemui di tepi jalan yang kelihatan cantik itu, bomoh PJJ terbabit menggunakannya untuk dijadikan cincin, loket dan sebagainya sebelum dijual kepada pelanggan pada harga tinggi.

Bagi menjadikan temberang mereka lebih hebat, bomoh terbabit mengaku mempunyai kemampuan mengetahui jenis penyakit sebelum diubat dari jauh jika mangsa setuju mendapatkan batu berkenaan.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah memakai batu yang sudah dijadikan cincin dan sebagainya, sebelum menghubungi bomoh PJJ terbabit dan memaklumkan khidmat yang diperlukan.

Dengan spontan, bomoh PJJ terbabit akan tahu jenis penyakit dan mengubatnya dari jauh tetapi ada kemungkinan mangsa perlu membayar deposit melalui akaun bank bagi memastikan dukun mampu mendapatkan barangan lain bagi menjalankan proses rawatan.

Seorang pakar perubatan tradisonal, Mohamad Salim Santhiman atau Wak Salim ketika mendedahkan kegiatan bomoh terbabit berkata, batu kononnya sakti itu dijual kepada pelanggan berminat sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Batuan terbabit diperoleh dengan mudah dan dengan sedikit ubah suai atau digilap di bahagian tertentu, bentuknya menjadi lebih cantik dan menarik.

“Bagi memastikan ia laku, ada bomoh mendakwa ia dipenuhi kuasa sakti dan tanpa perlu bertemu bomoh terbabit, pengguna yang menghidap penyakit tertentu boleh diubati,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Menurut Wak Salim, tiada batu yang sakti tetapi kata-kata bomoh yang dipenuhi putar belit saja menjadikan batu terbabit ‘sakti’.

Sepanjang kariernya sebagai pengamal perubatan tradisional, Wak Salim sendiri pernah ditemui pelanggan yang menggunakan batu terbabit tetapi tidak mujarab seperti didakwa bomoh yang menjualnya.

“Ada yang datang bertemu saya untuk berubat dan selepas dimaklumkan perkara itu, saya melakukan pemeriksaan dan mendapati batu cincin terbabit hanya batuan diperoleh di tepi jalan.

“Memang jelas mangsa diperdaya. Bomoh terbabit hanya mengeluarkan modal untuk membuat acuan batu dijadikan cincin saja dan mengambil untung atas angin bermodalkan air liur,” katanya kesal.

Menurut Wak Salim, pesakit sepatutnya berfikiran rasional kerana doktor sekali pun pasti akan meminta pesakit bertemunya untuk diperiksa sebelum diberikan rawatan dan ubat.

Bagaimanapun, bomoh PJJ menggunakan teknik perubatan berlainan dan pasti ada yang tidak kena dengan perkara itu khasnya berubat menggunakan kuasa batu saja.

“Ada batu yang benar-benar berkhasiat untuk dijadikan bahan perubatan tetapi sukar mendapatkannya,” katanya.

“Jangan terpedaya jika ada pihak yang mendakwa boleh merawat penyakit dari jarak jauh hanya dengan menggunakan kuasa sakti batu cincin dan sebagainya, sebaliknya orang ramai perlu berhati-hati jika ditawarkan perkara sedemikian,” katanya.

Wak Salim turut memberitahu, dia pernah mendengar mengenai bomoh PJJ tetapi sebahagian besar adalah penipu, manakala sebahagian lagi belum dibuktikan ‘kehandalan’ mereka menggunakan teknik PJJ.

“Yang baik datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk adalah kelemahan manusia sendiri. Sebaik-baiknya, mintalah daripada Tuhan dan bukan daripada manusia atau batu.

“Pada masa sama, jangan terlalu percaya kepada apa yang didakwa sebagai kuasa sakti kerana ia boleh membawa kepada syirik dan menyekutukan tuhan,” nasihatnya kepada mereka yang terlalu taksub kepada apa saja yang dikatakan bomoh PJJ.

Tinggalkan jawapan