Lelaki perlu periksa payu dara seperti wanita
KUALA LUMPUR: Lelaki juga perlu melakukan pemeriksaan sendiri payu dara seperti yang dicadangkan kepada wanita kerana mereka turut berisiko untuk mendapat penyakit berkenaan.
Pengarah Klinikal Pusat Penjagaan Payudara, Pusat Perubatan Pantai, Dr Patricia Gomez, berkata lelaki berdepan risiko satu hingga lima peratus untuk turut terdedah kepada serangan barah payu dara.
Beliau berkata, risiko untuk lelaki diserang barah payu dara lebih tinggi sekiranya ada ahli keluarga seperti ibu, kakak dan adik perempuan mempunyai sejarah penyakit itu.
Katanya, adalah penting bagi mereka untuk mendapatkan pemeriksaan bagi mengesan sebarang kelainan pada payu dara kerana penyakit berkenaan tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
“Pemeriksaan yang dilakukan adalah sama dengan pemeriksaan untuk wanita. Lelaki juga perlu memeriksa puting payu dara sama ada wujud bengkak atau terdapat lilitan darah seperti luka kecil pada puting.
“Walaupun payu dara lelaki kecil tetapi apabila kita pegang masih dapat dirasa kewujudan bengkak pada payu dara. Tiada rasa sakit menyebabkan lelaki tidak mendapatkan pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Pusat Penjagaan Payudara, Pusat Perubatan Pantai oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Pantai Holdings Berhad, Tan Sri Mohamed Khatib Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Pantai, Tan Suet Guan.
Dr Patricia berkata, rawatan yang diberikan adalah sama dan sekiranya barah itu di peringkat serius pesakit perlu menjalani pembedahan membuang benjolan atau menjalani rawatan kimoterapi.
Sementara itu, Shahrizat berkata, kementeriannya mewujudkan satu jawatankuasa teknikal untuk mengaudit hospital yang bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyertai program Subsidi Ujian Mamogram.
Menerusi program itu, sebanyak 16 hospital bekerjasama melaksanakan program berkenaan bersama-sama 50 klinik LPPKN di seluruh negara.
“Mana-mana hospital yang terbabit dalam program ini perlu diaudit oleh jawatankuasa ini bagi memastikan hanya hospital yang layak menyertai program ini,” katanya.
Subsidi sebanyak RM50 itu diberikan kepada wanita warga negara Malaysia dan penduduk tetap yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM5,000 sebulan atau dirujuk untuk ujian diagnostik mamogram.










