3 Jawatan Tertinggi DPPWP Menang Tanpa Bertanding

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah mengadakan Muktamar Tahunan yang ke-22 pada 29 April 2007, bertempat di Markas PAS Kawasan Titiwangsa, Kg. Pandan.

Muktamar ini telah dirasmikan oleh YB. Salahuddin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Turut hadir adalah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Tuan Hj. Mohamad Nor Mohamad.

Dalam ucapan perasmian, Salahuddin mengesa agar Pemuda PAS meningkatkan gerak kerja kemasyarakatan dan memberikan komitmen yang tinggi terhadap setiap program yang dianjurkan oleh parti. Pemuda PAS harus menjadikan agenda “Duta Penyelamat dan Kasih Sayang” sebagai gerak kerja terpenting bagi memastikan PAS mampu menjadi ikon yang sinonim dengan kehidupan masyarakat.

Dalam pada itu, ketika mengulas kejadian 3 orang petugas PAS yang dibelasah oleh samseng UMNO pada awal pagi hari mengundi di Ijok, Salahuddin mengingatkan agar Pemuda PAS bersedia untuk berjuang walaupun sampai bermandi darah. Perjuangan di atas padang yang tidak sama rata ini begitu mencabar dan kecekalan Pemuda PAS dalam mengharungi segala mehnah dalam perjuangan ini amatlah dituntut dan dihargai.

Muktamar kali ini juga telah menyaksikan beberapa perubahan kecil diperingkat Kepimpinan DPPWP. Apa yang menarik, 3 jawatan tertinggi DPPWP telah menang tanpa bertanding dan disokong penuh oleh seluruh Perwakilan yang hadir.

Saudara Kamaruzaman Mohamad yang sebelum ini memangku jawatan Ketua Pemuda telah dipilih untuk mengetuai kepimpinan DPPWP bagi sesi 2007-2009. Setiausaha DPPWP sebelum ini, iaitu Saudara Kamarul Arif Ambak telah dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda. Pemangku Naib Ketua Pemuda sebelum ini, Saudara Khairul Anuar Abd Manap telah dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda.

Seramai 10 orang ahli pemuda telah turut dipilih untuk memegang jawatan Exco bagi sesi kali ini iaitu, Saudara Ahmad Zamri, Khairil Nizam, Khairul Anuar, Suhaimi Abd Aziz, Adlin Salleh, Fatah Yusof, Ramadhan Alias, Nurhelmi Ahmad, Solihin Zakaria dan Herman Samsudeen.

Saudara Mohd Zain Hashim kekal sebagai pengerusi tetap dengan dibantu oleh Saudara Tarmizi Mohd Jam. Saudara Syarbaini Rahmat dan Yusapiza Yaacob pula dipilih sebagai pemeriksa kira-kira.

Dalam ucapan penangguhan, Saudara Kamaruzaman mengingatkan agar Pemuda PAS Wilayah mengambil inisiatif yang segar terhadap usaha “Merakyat dan Memperkasa Perjuangan” yang menjadi tema Muktamar kali ini. Setiap Pemuda PAS harus mengambil bahagian dan tanggungjawab bersama bagi berdakwah dan meningkatkan hubungan bersama masyarakat disamping meningkatkan hubungan dengan Allah.

Herman Samsudeen
Exco
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tinggalkan jawapan